Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan
berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil
tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan
semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan
jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus
supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali
tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed
Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan
di Istana Negara hari ini.