Tuesday, December 7, 2010

Khir Toyo Serah Surat Letak Jawatan Ketua Pembangkang Esok



SHAH ALAM, 7 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kepada Badan Perhubungan Umno negeri, pada Rabu.

Katanya beliau menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisi jawatan itu.

"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Badan Perhubungan Umno Selangor sebagaimana yang diumumkan menerusi laman blog saya, www.drkhir.com, semalam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Semalam, bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi laman blognya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuatkuasa serta-merta.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri, turut berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya dalam parti.

Semalam Dr Mohamad Khir, 45 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di No 8 dan No 10, Jalan Suasa 7 /1L, Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM6.5 juta yang dibeli dengan harga hanya RM3.5 juta.

Selain beliau, pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Haryoni, 52, yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Dr Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Dr Mohamad Khir yang menjadi Menteri Besar Selangor ke-13 menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar, dari Ogos 2000 hingga Februri 2008, berkata beliau memutuskan meletak jawatan demi kebaikan parti dan juga taraf jawatan tersebut.

Katanya, adalah lebih baik beliau melepaskan jawatan tersebut sementara menunggu proses mahkamah yang akan menentukan sama ada beliau bersalah ataupun tidak mengikut pertuduhan itu.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana khuatir kemungkinan akan wujudnya pelbagai andaian serta spekulasi daripada pihak luar khususnya pembangkang yang akan mengaitkan tuduhan itu dengan parti dan jawatan Ketua Pembangkang Selangor.

-- BERNAMA

Sunday, December 5, 2010

Poilis Mungkir Janji kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kesal dengan tindakan polis menangkap kira-kira 50 orang peserta perhimpunan membantah kenaikan harga air di Masjid Negara di ibu negara hari ini.

Selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Khalid menyatakan kekesalannya kerana "polis tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman"

selangor water demo crowd Khalid ibrahim baca kandungan memo“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata menteri besar.

Dalam satu kenyataan, Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan hari ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air," tambah Khalid.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang didakwa hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi.


Malaysiakini

BERITA DARI BLOGGER 2