Saturday, June 5, 2010

Rachel Corrie Dijangka Memasuki Perairan Gaza Jam 2 Petang Waktu Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kapal Rachel Corrie yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan dijangka memasuki perairan Gaza kira-kira tiga jam lagi iaitu kira-kira pukul 2 petang waktu Malaysia sekiranya tidak menghadapi apa-apa kesulitan.

Wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Sufi Yusoff ketika dihubungi berkata Rachel Corrie kini berada kira-kira 55 batu nautika dari pelabuhan Gaza. Enam warga Malaysia antara sukarelawan yang berada atas kapal itu

"Pada ketika ini, kesemua anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun terdapat tiga buah kapal peronda mengekori kapal tersebut sejak tiga ke empat jam lepas," kata Sufi yang juga pembantu kepada pengerusi PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamed kepada Bernama pada Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, identiti kapal-kapal peronda tersebut yang berada kira-kira enam hingga 10 batu di belakang Rachel Corrie tidak dapat dipastikan tetapi disyaki milik Isreal berdasarkan kepada visual yang diterima.

Sambil menolak khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan bahawa Rachel Corrie kini dikepung tentera laut Israel, beliau mengulangi kenyataan PGPO awal pagi ini bahawa mereka mengalu-alukan wakil daripada badan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB) untuk memeriksa Rachel Corrie.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak aktivis keamanan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, PGPO berkata para sukarelawan di atas kapal MV Rachel Corrie mengalu-alukan badan antarabangsa memeriksa kapal itu.

Mereka mempelawa sebuah badan bebas, khususnya PBB untuk membuat pemeriksaan dan menentukan jenis kargo dalam kapal itu.

Para sukarelawan itu juga berikrar bahawa mereka terdiri daripada aktivis tidak bersenjata dan kapal itu tidak membawa sebarang senjata atau kelengkapan yang mungkin digunakan untuk tujuan berbahaya.

-- BERNAMA

No comments:

BERITA DARI BLOGGER 2