Thursday, September 15, 2011

"Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.


"Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya.  Ini memang orang-orang yang berjuang.  Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang.  Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang.  Dia menyambut.  Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan."

"...Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya."


Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam.  Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung "bagaimana kemerdekaan itu harus disambut".

A.Samad Said (gambar kanan), atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbar Fikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa "British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah."

"Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman," katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British.  Menurut beliau, British tidak berunding dengan "kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin" kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

"Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British," simpulnya di akhir ucapan beliau.  Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan"; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah "kemerdekaan" pada gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

"Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan.  Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun."

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran "Tun" kemudiannya.

"Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan," tegasnya.  Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana "orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal..."

"Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan... Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja.  Rakyat lain...hampir sama saja," katanya.

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan.  Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu.  Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.


Petikan DETIK daily

3 comments:

Anonymous said...

Kalau 'Bapa Kemerdekaan' dah tergugur, nak letak apa 'Bapa Laung'?.

Anonymous said...

'Bapak Kucing disangkakan Bapak Kemerdekaan' begitulah kenyataan yang telah digambarkan oleh Syed Husein AlAttas penulis politik Malaysia di dalam buku karya beliau yang berjudul Lima Raja Terakhir. Syed Husein AlAttas yang lebih popular dengan panggilan Pak Habib mendakwa bahawa Tunku Abdul Rahman pernah menulis surat kepada beliau mendedahkan dirinya(Tunku)hanya berperanan sebagai proxi(orang suruhan penjajah British)dalam urusan mengenai Kemerdekaan.Apa yang tidak pernah didedahkan secara jujur bahawa Kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara adalah hasil dari perjuangan seorang tokoh pejuang wanita.Bukan sedikit pejuang-pejuang Melayu yang berjuang menentang penjajah British namun Kemerdekaan yang dicapai telah ditentukan melalui Pilihan Raya Umum yang pertama pada tahun 1955.Apa yang telah dikaburkan selama ini tentang sejarah bahawa pada Pilihan Raya Umum yang pertama yang berlangsung pada tahun 1955 peratusan undi yang telah keluar mengundi untuk menuntut Kemerdekaan 70% datangnya dari golongan wanita hanya 30% golongan lelaki yang keluar mengundi.Siapakah tokoh pejuang wanita yang telah menghidupkan dan membakar semangat golongan wanita supaya keluar mengundi untuk memerdekakan Malaya(Tanah Melayu)dari belenggu penjajah British? Malangnya oleh kerana tokoh pejuang wanita yang dimaksudkan itu berasal dari Indonesia maka segala jasa bakti yang telah disumbangkan oleh beliau dalam perjuangan memerdekakan negara yang tercinta ini terus-terusan dipandang sepi seolah-olah diinjak-injak supaya hilang ditelan zaman.

Pak Lubis said...

siapakah wanita itu ???????

BERITA DARI BLOGGER 2