Tuesday, June 23, 2009

BETUL KE !!!!! ... Kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya kes penangkapan peguam .

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes penangkapan lima ahli Majlis Peguam Malaysia dari Biro Bantuan Guaman Kuala Lumpur di Balai Polis Brickfields pada 7 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang kehakiman akan memastikan “rule of law” atau kedaulatan undang-undang negara ini sentiasa diutamakan.

"Perkara-perkara yang dilihat dilakukan secara tidak menghormati “rule of law” sepatutnya tidak berlaku di negara kita yang dianggap sebagai sebuah negara yang maju," katanya di Lobi Parlimen di sini, hari ini.


Sebelum itu, beliau menerima memorandum mengenai penangkapan tersebut daripada Majlis Peguam yang diwakili Presiden Ragunath Kesavan.

Turut hadir ialah lima peguam yang terbabit iaitu Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalilwal, dan Syuhaini Safwan.

Nazri berkata, beliau akan memaklumkan perkara-perkara dalam memorandum tersebut yang berkaitan dengan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri kepada menterinya, Datuk Seri Hishammudin Hussein.

"Ada perkara-perkara dalam memorandum ini yang perlu diperhalusi oleh beliau dan juga untuk beliau mengambil tindakan," katanya.

Lima peguam itu ditahan di Balai Polis Brickfields pada 7 Mei lalu ketika cuba berjumpa dengan tahanan yang terbabit dengan protes penangkapan aktivis, Wong Chin Huat.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokannya. - Bernama


No comments:

BERITA DARI BLOGGER 2