Thursday, June 25, 2009

Pelajar sekolah agama dibelasah disaksi 80 pelajar

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga pengsan selepas dibelasah empat pelajar senior dengan disaksikan kira-kira 80 pelajar lain dalam surau sebuah sekolah agama di Rompin, awal pagi semalam.

Namun, tiada seorang pun di antara kira-kira 80 rakan sekolah Mohd Ashraf Abdul Aziz, 15, yang menyaksikan kejadian itu datang membantunya.

Menurut abang ipar mangsa yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 1 pagi itu, lampu surau ditutup selepas kesemua pelajar selesai menunaikan solat sunat witir sebelum Mohd Ashraf dibelasah teruk oleh keempat-empat pelajar lelaki berusia antara 16 dan 17 tahun tanpa sebab.


Beliau mendakwa ekoran kejadian itu, mangsa pengsan selain mengalami kecederaan di bahagian muka, badan dan lengan.

"Pihak sekolah yang menyedari kejadian itu kemudian menghantar"Mohd Ashraf ke klinik selepas diminta oleh ibu mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata keluarganya telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu semalam namun menarik kembali laporan itu pada hari yang sama selepas berbincang dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Sementara itu, Pengetua sekolah itu, Nasiruddin Mohamed Yusof berkata pihaknya telah mengambil tindakan membuang keempat-empat pelajar terbabit dari asrama sekolah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Razali Razak mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, polis tetap akan menjalankan siasatan walaupun keluarga mangsa telah menarik kembali laporan polis yang dibuat. - Bernama

No comments:

BERITA DARI BLOGGER 2