Monday, March 23, 2009

Polis akan mohon waran tangkap Helmi Malek

KUALA LUMPUR: Polis akan memohon perintah mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, kerana gagal hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gambar separuh bogel Adun itu.

Polis telah memberi tempoh kepada Helmi Malek, 32, sehingga Khamis lalu supaya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, namun beliau gagal menghadirkan diri.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat, berkata tempoh yang diberikan kepada Helmi telah tamat dan waran tangkap terhadapnya wajar dikeluarkan.


"Kita telah mengambil keterangan bapanya (Helmi) baru-baru ini. Notis (surat perintah) untuk hadir memberi keterangan telah dihantar kepada Helmi melalui bapanya namun beliau masih gagal hadirkan diri," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Minggu lalu, polis mengeluarkan surat perintah bagi memanggil Helmi agar tampil untuk membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel Wong di Internet yang diserahkan melalui bapanya.

Polis sebelum ini juga mengesahkan Helmi adalah satu-satunya saksi yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes gambar separuh bogel Wong yang tersebar luas di Internet awal bulan lepas.

Mengenai laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Abdul Samah berkata pihaknya akan memanggil penulis buku "Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin" untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Semalam, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Brickfields terhadap penulis buku tersebut yang dikatakan mengugut dan memfitnah beliau. - Bernama

No comments:

BERITA DARI BLOGGER 2