Monday, August 24, 2009

Sultan Kedah belum perkenan gugur Adun Lunas: MB

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah belum berkenan untuk menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, daripada jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Sultan Abdul Halim dijangka akan memberi perkenan mengenai perkara itu dalam tempoh sehari dua ini.

Beliau menghadap Sultan Kedah petang tadi bagi mempersembahkan permohonan menggugurkan Mohd Radzhi, selepas Adun Lunas itu mengisytiharkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas, semalam.

Azizan berkata, ini bermakna Mohd Radzhi masih lagi seorang Exco dan beliau boleh menghadiri mesyuarat Exco jika ia diadakan sebelum pengguguran itu.

Semalam, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Mohd Radzhi mengumumkan beliau keluar daripada PKR dan menjadi Adun Bebas, tetapi masih mengekalkan jawatan Exco kerana pelantikannya dibuat oleh Sultan Kedah.

Mohd Radzhi mengambil tindakan keluar daripada PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu. ..Berita Harian

BERITA DARI BLOGGER 2