Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, yang menegaskan Ahmad Indera atau lebih dikenali sebagai “Mat Indera” bukan seorang pejuang mendapatkan kemerdekaan tetapi komunis, sebagai “tindakan tidak jujur” selaku ketua kerajaan negeri.
“Kenyataan Menteri Besar (Ghani), sebagai seorang bekas ahli akademik, dapat mengatakan begitu... ia tidak wajar memandangkan buku (Pengukir Nama Johor) dikeluarkan oleh kerajaan negeri (pada 2004),” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider.
Ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa ini menambah, “lebih parah kerajaan negeri tidak tahu apa yang dia lakukan. Beliau sebagai Menteri Besar sewajarnya ambil tahu kandungan dalam buku kerana ia diterbitkan oleh kerajaan negeri. Ia memperlihatkan satu kebodohan dan memalukan.”
Menteri Besar itu ada menyediakan prakata dalam buku itu yang menyenaraikan sejumlah pejuang kemerdekaan dan tokoh negeri Johor.
Sebelum ini, Yayasan Warisan Johor (YWJ) berkata walaupun nama Mat Indera disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam Pengukir Nama Johor namun dia tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.