Thursday, September 15, 2011

"Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.


"Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya.  Ini memang orang-orang yang berjuang.  Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang.  Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang.  Dia menyambut.  Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan."

"...Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya."


Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam.  Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung "bagaimana kemerdekaan itu harus disambut".

A.Samad Said (gambar kanan), atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbar Fikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa "British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah."

"Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman," katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British.  Menurut beliau, British tidak berunding dengan "kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin" kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

"Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British," simpulnya di akhir ucapan beliau.  Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan"; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah "kemerdekaan" pada gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

"Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan.  Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun."

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran "Tun" kemudiannya.

"Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan," tegasnya.  Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana "orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal..."

"Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan... Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja.  Rakyat lain...hampir sama saja," katanya.

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan.  Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu.  Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.


Petikan DETIK daily

Melayu dijajah 400 tahun - Kata Ibrahim Ali

  Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan orang Melayu dan Bumiputera telah dijajah lebih 400 tahun dan oleh itu, tidak mungkin boleh maju dalam dua dekad sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.
Tempoh 20 tahun DEB berakhir 1990 dan matlamat dasar itu diteruskan menerusi dasar-dasar susulan sejak itu.
Sehubungan itu kata beliau, orang Melayu dan Bumiputera sewajarnya diberi masa dengan menganggap bahawa tempoh DEB antara 1970 hingga 1990 sebagai fasa pertama dan era selepas 1990 sebagai “fasa kedua.”
“Harus diingat bahawa Melayu dan Bumiputera telah dijajah lebih 400 tahun. DEB hanya dilaksanakan dari 1970 hingga 1990.
“Mana mungkin (kaum yang) dijajah 400 lebih boleh maju, berjaya dalam tempoh 20 tahun dan waktu DEB dilancar dan dilaksanakan, orang Melayu dan Bumiputera belum bersedia dan serba kekurangan,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ibrahim (gambar) menggunakan rujukan dijajah dengan tempoh pelaksanaan memajukan orang Melayu dan Bumiputera ketika negara berhadapan dengan polemik sama ada Tanah Melayu benar-benar dijajah oleh British dan kuasa asing.

Malaysianinsider

Umno kata Malaysia tdak pernah dijajah tapi Ibrahim Ali kata orang Melayu telah 400 tahun dijajah.. Mana satu betul ni.

BERITA DARI BLOGGER 2