Thursday, August 30, 2012

JANJI DEMOKRASI - A SAMAD SAID

"Janji Demokrasi"- A Samad

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!


Monday, August 27, 2012

Hanya Dato' Seri Anwar dan Tun Musa Hitam yang kenal sangat dengan Tun Dr Mahathir

 
Hari Raya Kedua: Bertemu Tun Musa Hitam
Pada Hari Raya kedua, seperti kebiasaan saya bersama keluarga beraya di rumah Bapa Saudara saya iaitu Dato Zaidan Othman. Beliau adalah adik lelaki ibu saya. Semua ahli keluarga berkumpul di situ termasuklah abang saya Tan Sri Shahrir bersama bapa serta emak saudara dan sepupu saya. Walaupun hubungan kekeluargaan kami semua adalah baik, seperti biasa, mereka yang pro-PR akan lebih bersama saya dan yang sebaliknya akan lebih bersama dengan abang saya. Hanya kali ini ada sedikit kelainan apabila muncul Tun Musa Hitam dan keluarganya bersama!

Rupa-rupanya Tun Musa Hitam adalah kawan baik Bapa Saudara saya Dato Zaidan. Tun merupakan pengapit semasa Dato’ Zaidan bersanding dan adalah junior setahun kepada beliau. Katanya, semasa kelam kabut pada hari persandingan, Dato Zaidan terlupa mengikat tali kasutnya dan beliau terpaksa melutut untuk mengikatkan tali kasut sahabatnya itu. Malahan, seperti kebiasaan pada masa itu, pengapit terpaksa bermalam bersama dengan bakal pengantin lelaki pada malam sebelum persandingan! Takut pengantin lelaki lari kut?

Tun juga turut bersalaman dengan saya dan duduk di kerusi bersebelahan saya. Dia menceritakan hal dirinya dan menyatakan bagaimana pada tahun 1986 merupakan tahun yang amat mencabar bagi dirinya. Penceraiannya dengan isterinya yang dari berasal dari Peru dan juga tekanan politik yang terpaksa beliau hadapi sungguh hebat. Saya pun terus bertanya, “mengapa Tun berundur dan tidak melawan apabila Dr. Mahathir berusaha menjatuhkan Tun?”. Tun Musa menjawab dengan nada yang selamba, “kalau saya lawan, maka saya pasti akan dituduh seorang homoseksual malahan mengadakan hubungan seks dengan binatang dan lain-lain. Kamu tidak kenal dia (Dr. M) sepertimana saya. Pada masa itu juga saya tidak ada kekuatan kewangan. Duit semua dipegang oleh Daim.”

Selepas makan dan sebelum Tun ingin meninggalkan rumah bapa saudara saya, beliau menguatkan suaranya dan berkata secara seloka, “saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pilihan raya yang akan datang, tetapi di Lembah Klang saya ingin melihat kamu menang”, sambil menunjuk ke arah diri saya, “dan di Johor pula, Shahrir seorang sahaja yang menang!” Kami semua yang mendengarnya tergelak. “Shahrir seorang sahaja (dari BN) menang?” tanya saya. “Itu sudah pasti tidak senang didengari oleh Dr. Mahathir!” kata saya lagi. Tun tersenyum dan berkata, “I won’t tell you who I voted for in the last election”.

Zaman berubah seperti juga manusia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

BERITA DARI BLOGGER 2