Hari Raya Kedua: Bertemu Tun Musa Hitam
Pada Hari Raya kedua, seperti kebiasaan saya
bersama keluarga beraya di rumah Bapa Saudara saya iaitu Dato Zaidan Othman.
Beliau adalah adik lelaki ibu saya. Semua ahli keluarga berkumpul di situ
termasuklah abang saya Tan Sri Shahrir bersama bapa serta emak saudara dan
sepupu saya. Walaupun hubungan kekeluargaan kami semua adalah baik, seperti
biasa, mereka yang pro-PR akan lebih bersama saya dan yang sebaliknya akan
lebih bersama dengan abang saya. Hanya kali ini ada sedikit kelainan apabila
muncul Tun Musa Hitam dan keluarganya bersama!
Rupa-rupanya Tun Musa Hitam adalah kawan baik
Bapa Saudara saya Dato Zaidan. Tun merupakan pengapit semasa Dato’ Zaidan
bersanding dan adalah junior setahun kepada beliau. Katanya, semasa kelam kabut
pada hari persandingan, Dato Zaidan terlupa mengikat tali kasutnya dan beliau
terpaksa melutut untuk mengikatkan tali kasut sahabatnya itu. Malahan, seperti
kebiasaan pada masa itu, pengapit terpaksa bermalam bersama dengan bakal
pengantin lelaki pada malam sebelum persandingan! Takut pengantin lelaki lari
kut?
Tun juga turut bersalaman dengan saya dan
duduk di kerusi bersebelahan saya. Dia menceritakan hal dirinya dan menyatakan
bagaimana pada tahun 1986 merupakan tahun yang amat mencabar bagi dirinya.
Penceraiannya dengan isterinya yang dari berasal dari Peru dan juga tekanan
politik yang terpaksa beliau hadapi sungguh hebat. Saya pun terus bertanya,
“mengapa Tun berundur dan tidak melawan apabila Dr. Mahathir berusaha
menjatuhkan Tun?”. Tun Musa menjawab dengan nada yang selamba, “kalau saya
lawan, maka saya pasti akan dituduh seorang homoseksual malahan mengadakan
hubungan seks dengan binatang dan lain-lain. Kamu tidak kenal dia (Dr. M)
sepertimana saya. Pada masa itu juga saya tidak ada kekuatan kewangan. Duit
semua dipegang oleh Daim.”
Selepas makan dan sebelum Tun ingin
meninggalkan rumah bapa saudara saya, beliau menguatkan suaranya dan berkata
secara seloka, “saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pilihan raya yang
akan datang, tetapi di Lembah Klang saya ingin melihat kamu menang”, sambil
menunjuk ke arah diri saya, “dan di Johor pula, Shahrir seorang sahaja yang
menang!” Kami semua yang mendengarnya tergelak. “Shahrir seorang sahaja (dari
BN) menang?” tanya saya. “Itu sudah pasti tidak senang didengari oleh Dr.
Mahathir!” kata saya lagi. Tun tersenyum dan berkata, “I won’t tell you who I
voted for in the last election”.
Zaman berubah seperti juga manusia.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments:
Post a Comment