Saturday, November 28, 2015

NAJIB DICABAR ADAKAN PEMILIHAN UMNO TAHUN 2016

Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia yang mendakwa mewakili kira-kira 200 cawangan Umno, mencabar presiden parti itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya mengadakan pemilihan Umno tahun depan.

Mewakili mereka, Ketua Cawangan Kampung Railway, Mohd Said Midon berkata, cabaran itu adalah sebahagian daripada agenda mereka, selain mendesak Najib berundur daripada memimpin parti itu.

Jun lalu, Najib mengumumkan pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung tahun depan, ditangguhkan selama 18 bulan untuk mengukuhkan parti.

“Kalau dia (Najib) bijak, buat pemilihan pada (perhimpunan agung Umno) 2016, itu yang terpenting sebelum menghadapi pilihan raya.

“Sekarang ini desakan kita ialah untuk Najib undur dan adakan pemilihan parti pada 2016 untuk jalankan pemutihan seperti parti PAS buat, kerana macam itulah akan kembalinya keyakinan Umno itu sendiri dan juga orang ramai,” katanya.

Mohd Said menegaskan demikian dalam sidang media di majlis 'Mendemokrasikan Umno' lewat malam tadi yang menurutnya dihadiri ketua-ketua cawangan dari seluruh negara.
Mohd Said berkata, pemilihan parti perlu diadakan sebagai proses pemutihan di dalam parti bagi memastikan Umno terus kekal relevan.

Bagaimanapun, ketua-ketua cawangan yang terlibat malam tadi tidak akan menolak sekiranya di dalam pemilihan akan datang, Najib terus dipilih untuk kekal memimpin Umno.

“Itu kuasa Alalh dan kami terima (jika Najib menang dalam pemilihan), tetapi pemilihan itu mestilah dijalankan dengan cara baik dan jujur. Dia bertanding dan menang, kami terima, tetapi dengan syarat kena berubahlah, jangan terus jadi macam ini (merosakkan kepercayaan akar umbi dengan tindakan yang tidak relevan).

“Kalau tak berubah, PRU14 nanti akan menghancurkan,” kata Mohd Said lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Umno Cawangan Bandar Puteri, Mohd Shukor Mustaffa berkata ahli Umno berada di dalam keadaan kecewa.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mendakwa kumpulan yang menentang Najib sebagai mereka yang kecewa.

“Saya nak jawab, sebenarnya memang kami kecewa... yang teramat sangat kalau boleh nak menangis. Sebab apa, tangan kita yang memangkah ini dan amanah yang kita bagi pada pemimpin ini tidak dapat dilaksanakan, kami amat kecewa,” jelas Mohd Shukor mengulas kenyataan Ismail itu.

Susulan itu, Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia ini berkata bahawa mereka akan tetap mempertahankan Umno dan terus berjuang bagi memastikan parti itu berada pada landasan perjuangan yang asal.

Malah, kumpulan itu tidak menolak dan akan mendukung penuh kepimpinan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau menggantikan Najib sebagai presiden.

“Kami akan sokong, sebab itu memang tradisi kami, ikut hirarki parti... tiada masalah jika sesiapa pun yang ganti presiden,” kata Ketua Umno Cawangan Taman T.K.K, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Turut hadir di dalam perjumpaan tertutup tersebut ialah bekas ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang baru dipecat dari parti itu atas alasan lantang mengkritik kepimpinan Umno dan melanggar disiplin parti.

Sunday, November 22, 2015

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711)

Objektif akta ini adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk kerahsiaan maklumat mereka, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan diambil terhadap mereka. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat adalah salah satu usaha Kerajaan Malaysia dalam menangani rasuah dan menggalakkan urus tadbir yang baik di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Undang-undang perlindungan pemberi maklumat meliputi mana-mana anggota sektor awam dan swasta yang membuat pendedahan. Antara pendedahan yang digalakkan untuk didedahkan adalah penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan etika standard, aktiviti yang membawa bahaya kepada kesihatan atau keselamatan awam, pembaziran yang serius, menyalahi undang-undang dan salah urus. Pendedahan perlu dibuat, niat yang baik dan berdasarkan kejujuran serta alasan yang munasabah pada masa material tersebut tanpa memerlukan bukti kukuh daripada pemberi maklumat.

Adakah Akta ini telah dimansuhkan kerana ramai pemberi maklumat mengenai salah guna kuasa atau rasuah yang telah dilapurkan tidak memberi perlindungan kepada pelapur malah si pelapur yang ditahan ... Apa pendapat pembaca ?

Sunday, October 18, 2015

MACAM TAK PERCAYA JE

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diterima dan  disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang akan mula bersidang, Isnin ini.
 
Usul itu diletakkan sebagai usul ke-25 daripada 28 usul dalam kertas aturan urusan mesyuarat untuk dibahaskan,  selepas menerimanya daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
 
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada usul itu akan dibahaskan atau tidak. (Yang ini tak berapa sedap didengar)

Wednesday, October 7, 2015

RAJA RAJA MELAYU MAHU KERAJAAN SELESAIKAN KES 1MDB

Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Saturday, October 3, 2015

Adakah Patut Najib Mahu Rakyat Lupakan Isu Derma RM 2.6bilion

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pemimpin dan anggota parti supaya menutup isu dana politik, sebaliknya memberi fokus bagi menghadapi cabaran yang lebih besar dalam membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
    
Perdana Menteri berkata jika parti hanya tertumpu pada isu dana politik, soal kepentingan rakyat akan terabai.
    
Beliau berkata soal kepentingan rakyat dan apa yang diinginkan oleh mereka sepatutnya menjadi agenda utama parti yang perlu diambil perhatian sewajarnya.

Sunday, September 20, 2015

TANGKAP LAGI

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah melakukan pengubahan wang haram, beliau boleh disaman dan ditangkap.


Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan ditangkap polis antarabangsa atau Interpol jika negara asing menyiasat perdana menteri atas tuduhan pengubahan wang haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika contohnya, mendapati Najib bersalah melakukan pengubahan wang haram, mereka berhak menyaman beliau atau meminta Interpol menangkapnya sekiranya perdana menteri pergi ke luar negara.

"Jadi, dia kena duduk sini (dalam negara), tak boleh keluar. Macamana dia tarik pasport orang, tak bagi keluar, dia pun tak boleh keluar juga.

"Itu mungkin (berlaku). Bukan akan berlaku, tapi mungkin, dalam keadaan dunia sekarang," kata negarawan itu dalam satu video yang dimuatnaik blog "Din Turtle".

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata demikian pada satu pertemuan dengan Kumpulan Melayu Berani Bersatu di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Dr Mahathir berkata, undang-undang dunia kini berbeza daripada dahulu di mana sekiranya sesuatu jenayah dilakukan di negara ini, hanya undang-undang tempatan yang berkuatkuasa.

"Tetapi, kalau jenayah itu ada kaitan sedikit dengan luar negeri, negara lain itu mempunyai kuasa (menyiasat dan mendakwa)," katanya.

Dr Mahathir memetik kes Presiden Sudan Omar al-Bashir yang kini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicarakan atas beberapa tuduhan, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Darfur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, waran ICC ke atas Omar mesti dilaksanakan oleh negara yang menandatangani Statut Rom.

"Dia (Omar) sudah didapati bersalah dan akan ditangkap kalau dia pergi ke mana-mana negara yang bersetuju dia bersalah," kata Dr Mahathir.

Beliau yang bertukar daripada penyokong kuat Najib kepada pengkritik paling tegar perdana menteri itu, sejak kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan dana politik RM2.6 bilion, merasakan Najib tidak akan meletak jawatan tetapi hanya berkemungkinan melalui pendakwaan di luar Malaysia.

Seorang lagi pengkritik Najib, bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan, dilaporkan pergi ke beberapa negara di Eropah dan Asia sebelum ini, mendesak siasatan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan 1MDB, dana pelaburan negara sarat hutang itu.

Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Khairuddin turut menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos dan menggesa pihak berkuasa itu menyiasat aktiviti 1MDB yang melibatkan bank Switzerland dan bank antarabangsa.

Beliau menegaskan yang beliau hanya bertindak demi kepentingan negara.

Khairuddin dijadual bertemu ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat pada Isnin tetapi ketika hendak mengambil penerbangan pada Jumaat, mendapati ada sekatan dikenakan atasnya daripada meninggalkan negara.

Beliau kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan dan polis mendapatkan perintah tahanan reman 6 hari terhadapnya.

- themalaysianinsider.com/

Saturday, September 19, 2015

TANGKAP ... JANGAN BIARKAN



Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mengamalkan kedaulatan undang-undang dan akan menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan.

Justeru itu, beliau berkata, hasil siasatan 1MDB sepatutnya didedahkan untuk mengetahui siapa yang bersalah berhubung dakwaan skandal kewangan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang didapati bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman yang termaktub dalam undang-undang.

"Macam 1MDB, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah siasat, Bank Negara dah siasat, polis dah siasat, peguam negara sepatutnya dah selesai (siasat).


“Kalau semua dah siasat kita tengok siapa salah."Kalau ada orang yang salah, beritahu (sama ada) orang itu salah atau tak. Kalau dia salah mesti ada penjara, hukuman. Malaysia negara yang ikut kedaulatan undang-undang.

"Kalau curi wang pun kena tangkap, curi ayam pun kena tangkap. Semua orang buat jahat kena tangkap. Tak boleh biar," katanya sambil mendapat tepukan kira-kira 100 orang hadirin.

Timbalan presiden Umno itu berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama masyarakat Cina di Parlimen Pagoh hari ini.


Wednesday, September 9, 2015

MUHYIDDIN UMNO TOTOK

Ketika penungguan penuh mendebarkan penyokongnya di depan bangunan Umno, timbalan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya melangkah keluar dengan dengan tenang.

“Saya Umno totok,” begitu jawanya ketika ditanya berkaitan pendirian parti selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.

Ditanya berkaitan hasil mesyuarat, beliau berkata ia berjalan dengan baik.

Beliau juga disambut oleh sekumpulan penyokong yang berkumpul sejak awal petang tadi bagi menyatakan sokongan padanya.

Umno hari ini mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) kali pertama selepas Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri.

Perhimpunan hari ini dipercayai dicetuskan oleh kebimbangan terhadap khabar angin timbalan presiden itu antara yang akan dipecat hari ini.....MK

Tuesday, September 8, 2015

ROSMAH .... OH ROSMAH



Bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB) polis Datuk Abdul Hamid Bador menggesa isteri perdana menteri Rosmah Mansor tampil menjawab sendiri dakwaan terhadapnya dan tidak menggunakan orang tengah.
Hamid perkata Rosmah tidak perlu menggunakan pembantunya Datuk Rizal Mansor untuk bercakap bagi pihaknya.
“Sanggupkah Rosmah sendiri tampil buat penafian? Dia tak boleh bercakap sendiri ke?
“Sudah tentu, dia (perlu) jawablah,” katanya
Isnin lalu, Hamid membangkitkan persoalan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri dibuat dalam “mesyuarat tergempar” dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan turut dihadiri Rosmah.
Bagaimanapun semalam Rizal dengan keras menafikan dakwaan Rosmah menghadiri mesyuarat tergempar seperti yang didakwa
Sementara itu, Hamid juga membangkitkan isu berkaitan amalan membeli-belah Rosmah yang didakwanya menyusahkan pegawai dan pengiringnya.
“Selama ini dia banyak menyusahkan pegawai saya. Suka membazir waktu ‘bershopping’ sakan. Berjam-jam lamanya pegawai polis kena iring.
“Aktiviti dia (Rosmah) itu memaksa kerajaan tanggung kos lebih untuk bayar elaun pegawai-pegawai untuk iring,” dakwanya.
Rizal: Tunggu berita siar dulu
Menjawab soalan, Hamid berkata beliau tidak bimbang dikenakan sebarang tindakan atas kenyataan pedasnya itu.
“Saya tidak takut mati pun. Sudah saya buktikan waktu Ops Daulat (dalam kes pencerobohan Lahad Datu). Lagipun saya tidak percaya ilmu-ilmu ghaib, bomoh, hantu puaka. Kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Kalau saya perlu pergi ke mahkamah, lagi bagus. Senang untuk saya dedahkan semuanya,” katanya.
Sementara itu, Rizal ketika dihubungi enggan mengulas lanjut sebaliknya menunggu berita ini disiarkan terlebih dahulu.
“Nanti saya jawab. Siarkan dahulu berita Datuk Abdul Hamid (gambar) ini dulu,” katanya.

Monday, August 24, 2015

NAJIB AKUI KEWANGAN NEGARA TENAT

Najib Akui Kewangan Negara Tenat, Terpaksa Bergantung Pada Kutipan GST

Tetapi beberapa perkara juga dimusykil tentang Najib ni..
1. GST di kenakan
2. Susidi bahan bakar (minyak petrol dan diesel) sudah dihapuskan
3. RM 2.6 billion ada dalam simpanannya
4. Tol akan dinaikkan
5.Apalagi yahg akan dinaikkan ?


Tentu semua duit yang ada ini setidak tidaknya dapat menangani masaalah kewangan. Ringgit Malaysia semakin jatuh, Dulu Mahathir pernah mengikat tukaran mata wang Malaysia tetapi apa langkah Najib sebagai Menteri Kewangan untuk membaiki keadaan ini. 

Dan yang pastinya rakyat rakyat telah dikorban untuk menanggung semua ini tanpa peningkatan pendapatan manakala MP dan ADUn dapat kenaikan gaji untuk menampung kos yang meningkat.

Sunday, August 23, 2015

HEBATNYA ZAHID BERBANDING MUHYIDDIN

Tidak sampai sebulan menjadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid ternyata jauh lebih hebat berbanding Muhyiddin Yassin yang hampir enam tahun memegang jawatan itu tetapi langsung tidak tahu apa-apa mengenai wang RM2,600 juta itu sehinggalah ia didedahkan oleh WSJ.
Dengan begitu hebatnya Zahid ini, sepatutnya beliau lebih awal daripada Tun Musa Hitam lagi dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Melalui jawapan yang berbeza-beza sehingga sekarang ini, para pemimpin UMNO seolah-olah terus dibelenggu rasa bersalah berkaitan wang tersebut walaupun mungkin antara mereka turut menerima sejumlah kecil antara RM1 juta atau RM2 juta daripada RM2,600 juta itu.

Bukankah sebetulnya mereka tidak perlu risau apa-apa lagi tentang wang itu kerana SPRM sudah mengesahkannya sebagai derma dan halal diterima?

Kalau sudah disahkan derma dan dihalalkan pula SPRM, kenapa perlu bising-bising lagi, diam saja pun tak mengapa!!

Tetapi jika para pemimpin UMNO terus menghadapi kesulitan meyakinkan rakyat mengenai wang tersebut atau mungkin kerana ada rasa bersalah kerana terus diperkatakan rakyat, lebih baik mereka mengatakan ia merupakan derma untuk kemudahan Perdana Menteri dan keluarganya berbelanja dan membeli-belah di seluruh pelusuk dunia.

Jika itu jawapannya, sudah tentu ia sangat mudah dipercayai oleh sesiapa saja dan mereka tidak perlu terus mereka-reka jawapan yang berbeza yang akhirnya hanya menjadi bahan ketawa saja.
Kalau tak percaya, cuba Zahid Hamidi atau Ahmad Maslan tampil paling awal menyebut jawapan itu? (SH 22/08/2015)
petikan http://shahbudindotcom.blogspot.com

Tuesday, August 18, 2015

NAJIB PADA DASARNYA MENCURI KERAJAAN - MAHATHIR

Najib mungkin boleh membeli kejayaannya dalam pilihan raya akan datang ini tetapi dia tidak akan mampu memperolehi dana bagi mengekalkan pembelian populariti,” ulas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ruangan blognya http://chedet.cc/ semalam.
 
Tambahnya lagi, Kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mampu untuk meminjam malah beliau turut menyifatkan ekonomi negara akan runtuh dan rakyat akan menderita.

“Ini adalah gambar yang suram yang ada untuk rakyat Malaysia kerana Najib telah pada dasarnya mencuri Kerajaan,” katanya lagi.

Ujar Mahathir lagim senario yang berlaku di Malaysia hari ini belum pernah terjadi sebelumnya apabila Kedaulatan undang-undang telah ditunggang terbalikkan dan rakyat kelihatan tidak terdaya untuk berbuat sesuatu untuk menegakkan ia semula.

“Ini adalah kerana pemimpin yang betul-betul diamanahkan untuk mendukung undang-undang telah menjadi subjek suatu proses undang-undang. Didakwa bahawa beliau telah melanggar undang-undang.

“Oleh kerana tidak ada sesiapa pun yang terkecuali daripada tindakan undang-undang, apa yang harus menyusuli ialah penyesiatan untuk menentukan sama ada beliau telah sebenarnya melanggar undang-undang,” catatnya lagi.

PERAK TODAY

Ujarnya lagi, khabar angin bertiup kencang bahawa Gabenor Bank Negara sedang disiasat kerana rasuah walaupun ia tetap kekal sebagai Gabenor, kakitangan Bank Negara telah diganggu dan dituduh membocorkan maklumat kepada pihak akhbar.

Tegasnya lagi, pendapat awam masih kukuh mahu Najib meletak jawatan sebagai PM berikutan timbulnya cakap-cakap tentang perbentangan usul undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen.

Namun bagaimanapun langkah untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi undi tidak percaya di Parlimen tidak akan berjaya berikutan hampir semua ahli UMNO seolah-olah terhutang budi kepadanya dan pembangkang tidak mempunyai ahli yang mencukupi untuk meluluskan usul itu.

Monday, August 17, 2015

PARTI AMANAH

Parti Amanah Rakyat atau “Amanah” dijangka menjadi nama rasmi parti Islam baharu yang ditunggu-tunggu, ditubuhkan daripada kumpulan serpihan pemimpin PAS dan ahli badan bukan kerajaan Islam.

Dijangka dilancarkan pada Hari Kemerdekaan, menurut sumber, parti yang berteraskan Islam itu akan menggunakan warna Gerakan Harapan Baru (GHB) sekarang iaitu oren sebagai warna tema partinya. 

Nama dan logonya akan dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi sebelum dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos.

Keputusan mengenai nama, logo dan warna parti itu dimuktamadkan pada mesyuarat di Shah Alam semalam yang dihadiri pemimpin-pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), yang merupakan sebahagian daripada ahli Parlimen dan pemimpin politik PAS yang paling menonjol.

Sunday, August 16, 2015

NAJIB AMAL POLITIK TAKUT


Najib PM paling takut sekarang. Dia diburu oeh berbagai hantu dalam fantasi dan realitinya. Apa saja tindakan diambil semuanya menimpa dia kembali.
,
Dia hendak menyembunyikan duit RM2.6 bilion tanpa menyebut "pendermanya" tapi akhirnya dia disaman oleh PKR atas tuduhan menggunakan "dana" yang melampau untuk PRU 13.
,
Zeti pula kata dia tahu sumber RM2.6 bilion itu tapi takut ditangkap kalau membocorkan sumbernyaa. Tapi Zeti telah memberi laporan mengenai 1MDB kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya.


Ini juga menakutkan Najib. Besar kemungkinan Peguam Negara, bekas calon UMNO yang kalah di Kelantan, akan menggaru kepala apakah dia berani bertindak atau membisu sejuta rahsia bagi menyelamatkan pahlawan Bugis yang sesat dalam belantara bala ini. Dia takut TS Muhyiddin mendedahkan "derma" yang bukan "derma" itu maka Muhyiddin dipecatnya.

Dia menggunakan taknik "aku maha kuasa dan aku akan kekal berkuasa" tanpa memperdulikan apakah rakyat suka atau pun tidak. Dia mahu UMNO hancur bersamanya pada PRU 14 nanti. Selagi tidak lahir Jebat dalam UMNO memaksa Najib letak jawatan maka selamaitulah dia bermaharajalela sebagai PM yang patah sayap, punya nafsu besar tapi sokongan rakyat semakin hilang.

Credit ; Yahya Ismail

Sunday, August 9, 2015

TINDAKAN BERANI; MEMORANDUM MINTA NAJIB REHAT DISERAH KE TANGAN PM SENDIRI DI PASIR GUDANG.




Norwati Abdul Manaf menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Najib Razak selepas mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang. 

Ingatkan selepas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hati ahli-ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang berubah tidak jadi hantar memorandum.

Rupa-rupanya niat itu diteruskan juga dan berwakilkan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Norwati Abdul Manaf, memorandum yang mengandungi 12 perkara itu diserahkan ke tangan Najib sendiri selepas perasmian Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang pagi tadi.

"Kami terima apa juga yang diucapkan Najib tetapi kami dari 107 cawangan dah bulat hati untuk tetap menghantar memorandum ini.

"Dua perkara yang penting adalah meminta Najib berehat dari jawatannya dan membatalkan penangguhan pemilihan parti yang diumumkan selama 18 bulan itu," katanya kepada wartawan MalaysiaGazette.

Norwati yang juga Ketua Wanita cawangan Mawar selanjutnya berkata, pemilihan kepimpinan parti perlu disegerakan.

"Kalau Najib kata ada tiga juta ahli yang menyokongnya, kami harap dia adakan pemilihan secepat mungkin. Tak payah tangguh.

"Kami adalah ahli UMNO yang juga mempunyai hak untuk bersuara demi kebaikan parti," katanya.

Norwati berharap Najib selaku Presiden UMNO dapat mempertimbangkan memorandum yang diserahkan sebaik mungkin.

"Kami buat bukan suka-suka sendiri. Sebelum diserah kepada Najib, kami tunjuk dulu kepada 'bos' kami, Datuk Seri Khaled Nordin.

Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Menuntut Dua Pegawai SPRM Di Kembalikan


Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut dua pegawai suruhanjaya itu dikembalikan. 

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaafar dalam satu kenyataan menzahirkan rasa terkejut dengan tindakan menukar pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu. 

Menyifatkan pertukaran kedua-dua pegawai itu hanya akan menambahkan ketegangan, Johan berkata, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob harus dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM. 

"Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi," tegasnya

Johan turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk 'intimidasi' dan tindakan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dihentikan. 

Semalam, Bahri dan Rohaizad dilaporkan ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri dan akan mula berkhidmat pada Isnin. 

Sebelum ini Bahri dalam satu kenyataan menegaskan akan mencari dalang yang mengarahkan penahanan pegawai SPRM yang terlibat dalam penyiasatan melibatkan SRC International Sdn. Bhd. Katanya, pihaknya tidak ada masa berpolitik tetapi akan melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dan diharapkan oleh rakyat. -sinarharian-
tegasnya.

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), salah satu panel yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut dua pegawai suruhanjaya itu dikembalikan. Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaafar dalam satu kenyataan menzahirkan rasa terkejut dengan tindakan menukar pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu. Menyifatkan pertukaran kedua-dua pegawai itu hanya akan menambahkan ketegangan, Johan berkata, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob harus dikembalikan semula dengan serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di SPRM. "Malah, pertukaran ini akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan dan ia akan mewujudkan lebih banyak syak wasangka dan teori konspirasi," tegasnya.

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

BERITA DARI BLOGGER 2